Kunjungan Khas Kaum Adam ~ Kosmo Online
Date: 
06/09/2013 - 14:30

 

Kunjungan khas kaum Adam

 

 



SESI rawatan wajah membuatkan pengunjung berasa seolah-olah berada di spa.



PENJAGAAN wajah dan tubuh semakin mendapat perhatian dalam kalangan kaum lelaki. Semakin ramai kaum Adam yang beranggapan kebersihan dan kecantikan tidak lagi terhad kepada golongan wanita.

Personaliti kemas dan perawakan menarik menonjolkan peribadi profesional terutamanya bagi jejaka yang sentiasa berdepan dengan orang awam di tempat yang berbeza atas dasar tuntutan kerjaya korporat.

Pembukaan pusat-pusat kesihatan, gimnasium dan spa kecantikan khas untuk lelaki memberi peluang kepada mereka untuk mengekalkan ciri-ciri maskulin dalam diri.

Tidak perlu risau dengan tanggapan serong sesetengah masyarakat. Kini sang pria boleh memanjakan diri di samping mendapatkan susuk tubuh idaman di Men’s Refinery yang terletak di Damansara Uptown, Petaling Jaya.

“Kami cuba memberi pendedahan kepada masyarakat terutamanya golongan lelaki agar lebih fokus dan serius dalam menjaga tubuh badan mereka,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif, Flora Remeo, ketika ditemui Stailo baru-baru ini.

Flora tidak menafikan masih ada lelaki yang masih canggung dan malu apabila memperkatakan tentang rutin penjagaan wajah dan tubuh dengan berkunjung ke spa atau gimnasium. Tambahnya, tanggapan itu semakin terurai lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda.

Men’s Refinery bukan sekadar tempat untuk mendapatkan khidmat spa kecantikan malah turut tersedia ruang khas pusat rawatan dan studio kesihatan yang diselia oleh jurulatih profesional.

“Pembukaan Men’s Refinery tercetus apabila melihat situasi semasa yang hanya menawarkan khidmat kecantikan dan kesihatan dalam dua premis yang berbeza. Menariknya di sini, setiap pengunjung lelaki boleh mendapatkan kedua-dua perkhidmatan di bawah satu bumbung,” tambah Flora.

Konsep: Sesuai dengan imej maskulin, penataan ruang tidak terlalu berlebihan dengan pemilihan konsep yang ringkas dan minimum. Warna-warna seperti hitam, putih, merah dan biru gelap mencetus imej eksklusif kepada pengunjung Men’s Refinery. Paling menarik perhatian, dinding utama di ruang menunggu yang dilatari warna hitam, sofa merah dan bungaan kecil warna senada dengan selitan bait-bait kata motivasi dari pakar pemasaran terkenal, Tom Hopkins.


POWER Plate mampu meningkatkan kekuatan tubuh secara keseluruhan.



Menawarkan: Premis yang berkeluasan 1,800 kaki persegi (167 meter persegi) tersebut menawarkan perkhidmatan dan kesihatan kepada jejaka yang inginkan penjagaan secara keseluruhan. Penjimatan masa menjadi keutamaan memandangkan kesibukan mengejar urusan kerja yang tidak berkesudahan. Para pengunjung boleh memilih servis yang disediakan seperti perapian diri dan kesihatan.

Perkhidmatan kesihatan merangkumi senaman dan kesihatan badan yang didahului oleh khidmat nasihat pemakanan daripada pakar terlatih. Pengunjung akan diberi latihan di sebuah studio yang dilengkapi dengan alat-alat senaman berprestasi tinggi.

Usai melakukan senaman berat, mereka boleh merawat tubuh dan wajah dengan pilihan perapian diri yang dikendalikan perunding kecantikan bertauliah. Pengunjung boleh memilih untuk mendapatkan rawatan seperti program menguruskan badan, rawatan kulit kepala, penghapusan bulu dan rawatan wajah.

Tidak setakat itu, pengunjung boleh membuat rawatan menyental badan, terapi stres, mandian jet air dan beberapa perkhidmatan tambahan lain.

“Kami menyasarkan golongan lelaki berumur antara 35 hingga 55 tahun. Pengunjung kami merupakan kelompok yang sedar kepentingan penampilan diri dalam menempah kejayaan dalam lapangan kerjaya. Dalam mencapai matlamat itu, mereka sanggup melaburkan wang dan masa,” jelas Flora.

Keistimewaan: Men’s Refinery merupakan Pusat Power Plate berdaftar khas untuk lelaki yang pertama di Asia. Alat senaman itu banyak digunakan oleh ahli sukan profesional. Ia menggunakan prinsip Acceleration Training yang dapat meningkatkan kekuatan tubuh secara keseluruhan.

Berdasarkan prinsip itu, tubuh akan bertindak balas secara semula jadi melalui getaran yang terhasil. Pengguna hanya perlu menggunakan teknologi tersebut selama 15 minit dan tiga kali seminggu. Impaknya akan lebih ketara apabila ia digabungkan dengan sesi latihan kecerdasan yang lain seperti TRX, Kettebells dan Power Boxing.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0129&pub=kosmo&sec=S...